Komander Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, para penyelam daripada empat agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika ini sudah turun ke lokasi kenderaan itu bagi menentukan keadaan di bawah laut.

Tambahnya, keadaan arus di bawah laut ketika ini didapati agak kuat sekali gus menyukarkan pasukan penyelam mengikat tali pada kenderaan itu untuk dibawa naik menggunakan kren.

"Pasukan penyelam sudah turun ke lokasi kenderaan itu dikesan sejak pukul 7 pagi tadi secara bergilir-gilir dan kita sedang menunggu kelulusan mereka sebelum kenderaan itu dinaikkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menerusi operasi itu, pasukan penyelam akan mengikat tali pada bahagian roda kenderaan berkenaan yang dikesan di tiang 34 Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang dan tenggelam pada kedalaman kira-kira 15 meter.

Semalam, usaha menaikkan kenderaan itu menggunakan kaedah sama gagal selepas tali yang digunakan terlepas akibat keadaaan arus yang deras selain kesukaran penyelam disebabkan arus deras dan cuaca semakin gelap.

Kenderaan itu dikesan kira-kira pukul 4 petang semalam kira-kira 15 meter dari tempat terhumban iaitu di tiang 33 Jambatan Pulau Pinang selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira pukul 2.55 pagi kelmarin.

Setakat ini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yakin mangsa, Moey Yun Peng, 20, masih berada di dalam kenderaan dan akan dinaikkan bersama kenderaan menggunakan kren.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, kenderaan SUV itu tercampak ke dalam laut selepas dirempuh Toyota Vios yang dipandu laju dan melulu sehingga terbabas dari arah pulau ke Butterworth.

Kedua-dua pemandu merupakan rakan yang ketika kejadian dalam perjalanan pulang selepas berhibur bersama lima rakan yang lain di sebuah pusat hiburan di Jalan Chulia, Georgetown.  - UTUSAN ONLINE