Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd. Jamil Mat Daud berkata, operasi tersebut disambung semula kira-kira pukul 8 pagi ini melibatkan seramai 14 orang pegawai dan anggota bomba serta dua juruterbang.

Menurutnya, kerja-kerja pemadaman api tersebut menggunakan kaedah ‘bambi bucket’ dengan mengambil air di sungai berdekatan.

“Terdapat dua lokasi pengambilan air iaitu di kolam bersebelahan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dan di sebatang sungai yang berjarak kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

“Pihak bomba juga telah mengorek sungai tersebut bagi memudahkan kerja-kerja pengambilan air dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, bomba menerima panggilan pada pukul 5.28 petang daripada orang awam yang memaklumkan kebakaran tanah gambut di gunung tersebut pada ketinggian 260 meter.

Anggota agensi keselamatan berhadapan kesukaran memadamkan kebakaran itu berikutan ketiadaan sumber air mencukupi serta faktor angin dan cuaca panas.

Sejak api merebak, lebih 100 anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan malim gunung terbabit dalam operasi memadam secara manual menggunakan peralatan pemukul api. - UTUSAN ONLINE