Kejadian dipercayai berlaku kira-kira ‪pukul 9‬ pagi ketika mangsa, Zuklikfli Awang Hamat, 62, sedang menikmati nasi dibawanya selepas menoreh di kebun getah berkenaan.

Sementara itu, isterinya yang berusia lingkungan 50-an sedang menoreh getah kira-kira 500 meter dari situ.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, isteri mangsa mendengar bunyi letupan kuat namun tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk menimpa suaminya.

“Tidak lama kemudian, jiran datang dan menyuruhnya segera pulang ke rumah. Apabila tiba di rumah wanita itu terkejut melihat suaminya cedera di muka, mata, badan dan kaki serta bahagian paru-paru.

“Mangsa dibawa pemburu berusia 40-an yang melepaskan tembakan terhadapnya ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan dan kini dilaporan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa kejadian pemburu itu sedang mencari madu lebah sebelum terserempak dengan seekor ular tedung di hadapannya.

“Dia mahu melepaskan tembakan ke arah ular itu namun tidak menyangka terkena mangsa yang sedang makan nasi dalam jarak 70 meter dari kawasan itu.

“Pemburu itu kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah selain menyerahkan selaras senapang automatik jenis Bore, tujuh butir peluru hidup dan lesen senjata api,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan bukan di tempat yang dibenarkan dan Seksyen 338 Kanun Keseksaan menyebabkan cedera parah dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. - UTUSAN ONLINE