Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi itu, bot nelayan warga asing itu dikesan dalam keadaan separuh tenggelam kira-kira 12 kilometer dari perairan Barat Muka Head setelah berlaku letupan di ruang enjin yang mengakibatkan bot bocor dan seterusnya karam.

Difahamkan, mangsa Firman Amirudin, 23, yang berasal dari Acheh, Indonesia maut akibat terkena letupan enjin tersebut manakala dua lagi nelayan, Ibrahim Ismail, 59 dan Sopian Mohamad, 42, juga berasal dari Acheh cedera akibat melecur dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot tersebut telah dikesan oleh Kapal Maritim (KM) SATRIA milik Maritim Malaysia Johor yang dalam perjalanan ke Langkawi.

“KM SATRIA dalam perjalanan ke Pulau Langkawi untuk menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) telah mengesan sebuah bot berwarna biru telah karam.

“KM SATRIA seterusnya bertindak menghampiri bot karam tersebut dan mendapati tiga orang kru iaitu nelayan asing berada di atas bot karam tersebut,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE