Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, lebih 30 orang anggota APM Daerah Kuala Muda dan Yan berkumpul di Jeti Bot Penambang Tanjung Dawai disini, bagi melakukan kerja-kerja mencari Lai Yoon Khong, 41.

"Sehingga pukul 6 petang ini, gerakan mencari mangsa telah dihentikan sementara waktu dan akan disambung semula esok pagi.

"Setakat ini, kita telah pun mencari mangsa di beberapa kawasan termasuk di Tanjung Jaga dan Pulau Bidan. Kita akan teruskan di Pulau Songsong pula nanti," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azahar berkata, operasi mencari mangsa dilakukan secara bersama oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut beliau, kehilangan mangsa dilaporkan isterinya, Tok Sook Khim, 44, di Balai Polis Tanjung Dawai setelah lelaki itu tidak pulang ke rumah.

"Mangsa dilaporkan keluar menangkap ikan dari jeti nelayan kampung itu dengan menggunakan sebuah bot fiber berwarna biru pada pukul 1 petang pada hari berkenaan (Rabu). - UTUSAN ONLINE