Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, lori kontena terbabit dari arah Alor Setar disyaki terbabas lalu melanggar besi penghadang sebelum memasuki laluan menuju ke selatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebuah kereta dari arah selatan cuba mengelak ke lorong kiri namun bergesel dengan lori kontena itu yang terhenti di tengah lebuh raya.

“Pada masa sama, kereta itu terlanggar pula sebuah kereta lain yang juga datang dari arah selatan di lorong kiri lebuh raya berkenaan, sebelum kereta ketiga mengalami kerosakan keempat-empat tayarnya pecah ekoran melanggar serpihan kemalangan itu.

“Dalam kemalangan itu, pemandu lori kontena terbabit, D. Murugesan, 46, mengalami kecederan di leher sementara mangsa lain hanya luka-luka kecil,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Adzli, kemalangan tersebut turut mengakibatkan lori kontena itu remuk di bahagian depan dan treler berkenaan pula rosak pada bahagian belakang, manakala ketiga-tiga kereta itu rosak di beberapa bahagian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE