Ahmad Buhari Marzuki, 12, ditemukan dalam keadaan terlentang dan wajahnya pucat oleh ibunya kira-kira pukul 6 pagi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, berdasarkan laporan ibunya, kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, anaknya memaklumkan bahawa dia tiada selera untuk makan.

“Selepas itu, mangsa bertindak mengurung diri di dalam biliknya dan menguncinya.

“Bagaimanapun, pagi tadi, ketika ibunya membuka bilik anaknya menggunakan kunci pendua untuk mengejutkan bersiap ke sekolah, dia terkejut apabila melihat muka anaknya pucat dan berada dalam keadaan terlentang dan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shafien, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat.

“Setakat ini polis mengklasifikasikan kesnya sebagai mati mengejut kerana tiada unsur jenayah. Setakat ini, kita menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE