Presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, disebabkan keadaan banjir yang semakin teruk, penduduk di Kulim terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan.

“Sehingga kelmarin, dianggarkan hampir 139 keluarga didapati masih mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan di sekitar daerah Kulim dan terdapat juga beberapa pusat pemindahan yang sudah ditutup kerana kita dapati ramai sudah pulang ke rumah mereka.

“Pihak MRA cawangan Kedah juga telah melakukan tinjauan segera sekali gus menyalurkan sumbangan awal kit kebersihan diri berupa tuala, sabun, berus gigi dan beberapa peralatan lain bagi mereka yang tinggal di pusat pemindahan sementara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, kit kebersihan tersebut merupakan langkah awal yang mereka laksanakan sebaik mengetahui keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut.

“MRA Kedah akan terus melakukan tinjauan susulan bagi membantu mangsa pasca banjir di Kulim.

“Kami juga menyeru rakyat Malaysia dan penyumbang di luar sana untuk terus membantu MRA Kedah menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam suasana bulan Ramadan dan Aidilfitri yang akan tiba dua minggu lagi,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang prihatin terhadap mangsa banjir di Kedah boleh memberi sokongan dengan menyumbang ke dalam akaun Maybank 552059697628 atas nama Malaysian Relief Agency atau di talian 016-6186514 (Dr Saifullah Halim Al Hany). - UTUSAN ONLINE