AHMAD TARMIZI AHMAD JAPLI (tengah) yang hilang dalam Hutan Simpan Yong, Taman Negara, Jerantut sejak dua minggu lalu ditemukan selamat dan dibawa menaiki helikopter bomba untuk dihantar ke Hospital Kuala Lipis, Pahang, kelmarin. UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

Mangsa, Ahmad Tarmizi Ahmad Japli, 30, ditemukan pukul 4 petang semalam dalam ke­adaan lemah dan tidak mengalami kecederaan yang serius kira-kira empat kilometer dari kem utama.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa ditemukan di kawasan pencarian yang pernah dilalui pasukan penyelamat me­rangkumi 40 kilometer persegi kawasan pencarian.

Menurut beliau, lokasi mang­sa ditemukan mengambil masa antara tiga hingga empat jam perjalanan melalui laluan berbukit dan hutan tebal selain merentasi beberapa anak sungai.

“Sepanjang pencarian selama 14 hari, lokasi berkenaan pernah dilalui anggota penyelamat sebelum ini termasuk menggunakan kaedah pengesanan haba oleh pasukan gerakan udara.

“Mangsa dibawa ke kem terlebih dahulu sebelum dibawa keluar hari ini menggunakan helikopter bagi mendapatkan ra­watan di Hospital Lipis,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Menurut Mohd. Ysuri, situasi sebenar bagaimana mangsa hilang dan mampu bertahan selama 14 hari masih belum diperoeh memandangkan dia perlu menjalani rawatan di hospital terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abu Kadir Abu Hashim berkata, latihan ikhtiar hidup dijalani di jabatan itu membuatkan Ahmad Tarmizi mampu bertahan di dalam hutan dalam tempoh tersebut.

Menurut beliau, setiap anggotanya dibekalkan dengan ‘ilmu hutan’ dan latihan ikhtiar hidup sebelum melakukan penugasan di lapangan.

“Setiap anggota telah diberi latihan, apabila timbul situasi sesat di hutan, hanya tiga perkara yang kita sering pesan iaitu duduk di tempat berkenaan, atau back track, atau cari su­ngai,” ujarnya.