Mangsa, M. Siva Vikcneesh, 20, maut di tempat kejadian selepas motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggangnya dirempuh sebuah van jenis Mitsubishi dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, kemalangan itu berlaku di simpang empat Eka Matahari menuju ke Bandar Enstek.

“Seorang saksi kejadian mendakwa kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal yang datang dari arah Eka Matahari memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh oleh sebuah van.

“Mangsa yang bekerja sebagai mekanik motosikal itu terperosok ke bawah van berkenaan dan mengalami kecederaan teruk,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Syazwan berkata, pemandu van iaitu seorang pemastautin tetap dari Pakistan yang dalam perjalanan untuk berniaga di tapak pasar malam di Sendayan cedera di dada dan kepala.

Katanya, anggota bomba mengambil masa selama 10 minit bagi memberi rawatan awal kepada pemandu van tersebut. - UTUSAN ONLINE