Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Tiong Ling Hii berkata, penemuan tersebut setelah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dapat menaikkan 4WD berkenaan.

Katanya, terdahulu kedudukan 4WD jenis Mitsubishi Storm itu dikenal pasti pada kedudukan 50 meter dari jeti dengan kedalaman air dianggarkan 18 meter.

"Mayat mangsa, Bernabas Lias Jalal, 77, berjaya dikeluarkan daripada kenderaan itu pada pukul 3.11 petang tadi.

"Operasi SAR ini ditamatkan setelah mayat itu telah diserahkan kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Pada Isnin lalu, kenderaan itu dikatakan tiba-tiba bergerak ke hadapan lalu terjunam ke dalam sungai bersama mangsa.

Mengulas lanjut, Ling Hii berkata, operasi SAR juga disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pengurusan feri. - UTUSAN ONLINE