Lebih memilukan, mangsa Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, dan Shahril Apipie Mokhtar, 29, bakal menimang cahaya pertama mereka September ini.

Ketua Zon 1 Shah Alam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor , Razali Mohd. Nasir berkata, kejadian berlaku apabila Wan Hasheliza yang sedang sarat mengandung lapan bulan sedang makan durian di bawah tangga tersebut.

Ujarnya, bagaimanapun,tangga tersebut tiba-tiba runtuh sebelum menghimpit tangannya dan menyebabkan dia menjerit

“Wan Hasheliza kemudiannya cuba diselamatkan oleh suaminya namun mereka dikatakan terkena renjatan elektrik selepas wayar kabel elektrik berdekatan tangga terbabit putus akibat runtuhan itu.

“Dua jiran mangsa yang cuba membantu menyelamatkan Wan Hasheliza turut terkena arus elektrik,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.57 tengah hari itu, tiga warga tempatan termasuk seorang wanita dan seorang warganegara Indonesia maut selepas terkena renjatan elektrik.

Selain Wan Hasheliza dan suaminya, Shahril Apipie Mokhtar, 29, turut maut ialah jiran mereka, Mohd. Radezi Abdul Aziz,35, dan seorang warga Indonesia, Bambang Sulistio,39.

Tambah Razali, kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

“Kita mengambil masa 45 minit untuk menyelamatkan kesemua mangsa dan mereka berjaya dibawa keluar daripada runtuhan kira-kira pukul 2 petang.

“Pihak Tenaga Nasional Berhad juga telah membantu kita dalam melakukan pemotongan elektrik,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE