Mayat Muhammad Norhakimi Rehab, 18, yang memakai baju berwarna biru ditemui terdampar oleh anggota SAR pada pukul 5.50 pagi kira-kira 500 meter dari Pangkalan Hadapan Carilamat.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, operasi hari ini diteruskan dengan melakukan pencarian di sekitar pesisir pantai ketika air surut. 

“Usaha mencari seorang lagi mangsa, Noor Rahimi Fithri Ismail, 19, yang masih hilang akan diteruskan dengan kawasan pencarian diperluaskan sekitar enam batu nautika persegi

“Empat aset laut daripada beberapa agensi iaitu Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, BOMBA dan Angkatan Pertahanan Awam digunakan dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Kedua-dua rakan tersebut mandi di pantai tersebut kira-kira pukul 8.30 semalam sebelum lemas.

Sanifah berkata, mayat Muhammad Norhakimi seterusnya dibawa ke hospital Kota Tinggi setelah disahkan oleh keluarga mangsa. 

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk segera menghubungi talian 999 atau Maritime Rescue Sub Centre(MRSC) Johor Bahru di talian 07-2219231 supaya Maritim Malaysia dapat memberikan bantuan kecemasan dengan cepat sekiranya berlaku kecemasan di laut. 

“Orang ramai juga dinasihatkan lebih berhati-hati memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan mengambil langkah yang sewajarnya apabila berada di pantai,” katanya. - UTUSAN ONLINE