Mayat Sufar Jeh Teh, 18, seorang warganegara Thailand ditemukan dalam keadaan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 10.10 pagi pada jarak 300 meter dari lokasi kali terakhir dia dilihat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah, Jaswari Awang ketika ditemui berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah diteruskan mulai pukul 8 pagi melibatkan seramai 29 orang anggota dari pelbagai agensi di samping penduduk kampung.

Tambah Jaswari, operasi ditumpukan di sekitar kawasan lubuk tersebut dan keadaan arus yang deras akibat daripada hujan yang berlaku semalam menyukarkan sedikit operasi pada hari ini.

“Di samping itu kita juga turut mendapat bantuan daripada pasukan penyelam yang melakukan selaman di beberapa kawasan lubuk yang terdapat di sekitar kawasan air terjun tersebut dan selaman turut dilakukan di kawasan lain,” katanya.

Ogos lalu, dua sahabat mati lemas selepas mandi -manda di kawasan air terjun tersebut.-UTUSAN ONLINE