Mayat Muhammad Amar Mazeni, 13, ditemukan pada jarak 2 kilometer dari tempat lemas di Sungai Berumbong berdekatan sekolah agama pukul 5.20 pagi.

Difahamkan jenazah akan dibawa ke rumah ibu bapa mangsa untuk dikebumikan di Kampung Isnin Maarof pada hari ini.

Terdahulu, mangsa pertama, Mohd. Danish Mirzan, 16, ditemukan pukul 6.10 petang semalam oleh pihak bomba yang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, lapan pelajar tahfiz berusia antara 13 hingga 18 tahun mandi di sungai tersebut selepas pihak pengurusan tahfiz tempat mereka belajar membenarkan masing-masing pulang ke rumah.

Bagaimanapun Mohd. Danish Mirzan dan Muhammad Amar Mazeni dipercayai dibawa arus deras kerana keadaan sungai itu yang baru hujan semalam. - UTUSAN ONLINE