Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, mangsa ditemukan oleh orang awam kira-kira 100 meter dari tempat kanak-kanak itu dilaporkan lemas.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya dan telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan pada pukul 5.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Media melaporkan semalam, mangsa Nurul Ain Sajali berasal dari Kota Masai, Pasir Gudang dikuatiri lemas semasa bermain air dengan dua beradiknya.

Difahamkan, kanak-kanak itu pergi ke pantai bersama-sama ibu bapa dan ahli keluarga lain dan kehilangannya disedari keluarga kira-kira pukul 3 petang.

Keluarga mangsa turut melakukan pencarian sendiri sebelum pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.03 petang, sejurus itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan semalam.

Mohd. Fadli berkata, keadaan laut di lokasi kejadian dilihat bergelora dan bendera merah turut berkibar sebagai amaran keadaan laut tidak selamat bagi pengunjung. - UTUSAN ONLINE