Mayat dalam keadaan tidak berpakaian itu dijumpai pada pukul 1.57 petang oleh sekumpulan pendaki yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) remaja berkenaan di satu kawasan lurah sedalam 1.2 km di sini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, identiti mayat berkulit putih itu belum dikenal pasti dan perlu menunggu laporan bedah siasat bagi mengesahkan sama ada ia mayat Nora Anne atau sebaliknya.

"Pasukan SAR telah menjumpai mayat yang dalam keadaan sempurna itu kira-kira 2.5 kilometer dari resort dan pasukan forensik serta patologi telah bergegas ke lokasi itu.

"Mayat itu telah diterbangkan dengan menggunakan helikopter ke Hospital Tuanku Ja'afar dan ahli keluarga Nora Anne telah dimaklumkan untuk membuat pengesahan identiti mayat itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar.

Dalam pada itu, Mazlan mengakui kawasan mayat itu ditemukan pernah dimasuki oleh pasukan SAR sebelum ini, tetapi tidak dapat mengesan kedudukan mayat itu kerana lurah yang dalam.

"Kami pernah mencari di kawasan itu. Kawasan carian kami sehingga enam kilometer dan berpatah balik," jelasnya.

Remaja itu hilang dari Resort The Dusun Pantai Hill di sini semasa bercuti bersama ibunya, Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya berusia 8 dan 12 tahun pada 4 Ogos lalu.

Semasa kejadian, mangsa yang merupakan anak sulung, tidur di dalam bilik bersama dua adiknya itu sebelum didapati hilang kira-kira pukul 8 pagi. - UTUSAN ONLINE