Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Hawazi Ismail, 47, sedang menukar tayar van tersebut di lorong kecemasan sebelum tayar dari sebuah lori treler terpelanting lalu terkena mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd. Samad berkata, mangsa dari Tanjung Piandang, Perak dalam perjalanan ke Batu Kawan di sini disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian dada dan badan.

“Mangsa telah memberhentikan kenderaan dipandunya di lorong kecemasan untuk menukar tayar di bahagian belakang van yang pancit.

“Mangsa juga telah meletakkan segi tiga kecemasan di belakang van, namun secara tiba-tiba sebiji tayar daripada sebuah treler tercabut dan bergolek lalu terkena mangsa dari arah belakang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca dalam keadaan baik, selain van dan treler tidak mengalami kerosakan.

“Saksi awam akan dikesan bagi memberi keterangan berkait kes kemalangan ini.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat, selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE