Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Junaidah Abdul Rani,43, yang merupakan pembonceng motosikal berkenaan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tercampak dari motosikal.

Suami mangsa, Abd Samat Azizan,55, dan dua penunggang motosikal lagi yang terlibat dalam kemalangan tersebut mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan tiga buah motosikal di lokasi berkenaan.

“Motosikal milik suami mangsa didapati bergesel dengan dua buah motosikal lain dari arah belakang.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak daripada motosikal berkenaan dan mengalami kecederaan parah lalu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Seberang Jaya hari ini.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, “ katanya. - UTUSAN ONLINE