Nor Asilah Arahim, 29, berkata, kepulangan suaminya bersama empat lagi ahli keluarga juga untuk meraikan majlis perkahwinan adik ipar yang akan berlangsung esok.

“Kali terakhir saya menerima mesej daripada arwah suami melalui WhatsApp pada pukul 1 pagi yang memaklumkan mereka sudah melepasi Lebuhraya Karak.

“Bagaimanapun, lima jam kemudian, saya dimaklumkan suami dan empat ahli keluarga lain maut dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga arwah Muhamad Faezuan di Jelawat, di sini.

Kemalangan itu turut mengorbankan pasangan suami isteri, Mohd Sajury Abdullah, 63, Sobariah Haron, 54, anak lelaki mereka Uwais AlQurney Abdullah, 6, dan seorang anak saudara, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20.

Dalam pada itu, Nor Asilah berkata, dia seperti tidak percaya apabila menerima berita ini memandangkan segala persiapan untuk majlis esok telah siap.

“Pakaian sedondon yang akan kami sekeluarga pakai di majlis perkahwinan esok juga sudah siap digosok. Walau bagaimanapun, saya reda, Allah lebih sayangkannya,” katanya.

Sementara itu, ibu Muhamad Faezuan, Nazihah Abdullah, 51, berkata, meskipun menerima ujian dengan kehilangan anak dan saudara, namun majlis perkahwinan anaknya akan berlangsung seperti yang dirancang esok.

“Sepatutnya kami rancang selepas Zuhur namun dipercepatkan awal pagi untuk buat persediaan urusan pengebumian jenazah Faezuan dan keluarga lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE