Lebih menyedih­kan, kejadian itu menyebabkan mang­sa yang baru melangsungkan perkahwinan anak perempuannya tidak sempat menghadiri majlis kenduri di sebelah pengantin lelaki yang dijadualkan esok.

Anak bongsu Mariaty, Maisuri Mahamad Ajmi, 24, berkata, kejadian itu disedari selepas dia mendengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah sebelum melihat ibunya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Menurutnya, dia segera mendapatkan ibunya dan ketika itu wanita terbabit masih bernyawa namun tidak memberi sebarang reaksi apabila dipanggil.

“Saya tergamam apabila melihat emak terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan kecede­raan di badannya.

“Ketika itu saya masih dengar bunyi degupan jantung emak dan cuba memanggilnya namun tiada sahutan. Saya sempat memintanya mengucap sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Maisuri memberi­tahu, pada mulanya dia menyangka ibunya dilanggar lari ekoran tidak melihat tayar lori berhampiran lokasi kejadian.

Ujarnya, tayar ter­sebut ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian selepas dipercayai turut merem­puh sebuah motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

“Sepatutnya esok, kami sekeluarga akan menghantar kakak ke kenduri di pihak lelaki namun siapa sangka ini yang terjadi. Walaupun sedih, kami sekeluarga menerima pemergian emak dengan reda,” ujar­nya sambil memberitahu jena­zah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 42, Kampung Kedah di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Pengu­atkuasaan Trafik negeri, Superin­tenden Wan Jamil Wan Chik berkata, pihaknya kini sedang mengesan kenderaan berat berkenaan yang belum dikenal pasti sehingga kini.

Jelasnya, lori berkenaan kemungkinan tidak menyedari salah satu tayarnya tercabut dan melanggar mangsa yang ketika itu berada di luar rumahnya.