Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, selepas siasatan selesai dilakukan oleh pejabat daerah barulah bantuan kepada mangsa ribut akan dapat disalurkan.

"Prosedur operasi standard (SOP) iaitu laporkan kepada polis dan kemudian serahkan laporan ini kepada pejabat daerah kawasan masing-masing telah lama digunakan oleh kerajaan negeri.

"Kita minta mangsa ribut agar serahkan laporan polis kepada pejabat daerah terdekat bagi membolehkan mereka mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai luahan Jaharah Ismail, 41, yang buntu untuk mendapatkan maklumat mengenai bentuk bantuan yang boleh diperoleh oleh ibu bapanya selepas rumah mereka di Kampung Dodol di sini musnah akibat terbakar susulan ribut Jumaat lalu.

Rumah pusaka yang didiami Hasnah Ahmad, 63 dan Abd. Aziz Mohd. Ariff, 67, musnah sepenuhnya dalam kebakaran selepas ribut melanda kawasan berkenaan.

Menurut Boon Poh kerajaan negeri mempunyai dua jenis bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa yang terlibat dalam bencana iaitu Bantuan Bencana Alam Negeri Pulau Pinang dan juga Tabung Yang Dipertua Negeri (TYT).

"Apabila siasatan selesai dilakukan mangsa boleh mendapatkan bantuan masing-masing bagi meringankan beban mereka.

"Saluran bantuan kepada mangsa sentiasa tersedia cuma ia perlu dibuat mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Boon Poh berkata, mengikut maklumat yang diperoleh masih ramai lagi mangsa ribut yang masih belum membuat laporan polis selepas kejadian ribut itu melanda.

"Kita minta orang ramai buat laporan polis dengan segera bagi membolehkan penyaluran bantuan dilakukan," katanya. - UTUSAN ONLINE