Demikian luahan Jaharah Ismail, 41, anak kepada mangsa kejadian ribut di Kampung Dodol di sini yang buntu untuk mencari maklumat mengenai bentuk bantuan yang boleh diperoleh ibu bapanya selepas kejadian ribut Jumaat lalu.

Ini kerana, Jaharah berkata, rumah berusia lebih 80 tahun yang dihuni ibu bapanya, Hasnah Ahmad, 63 dan Abd. Aziz Mohd. Ariff, 67, musnah sepenuhnya dalam kebakaran selepas ribut melanda kawasan berkenaan.

"Pada waktu ini kami buntu, tidak tahu agensi mana yang perlu kami tuju untuk memohon bantuan.

"Kami tahu sukar untuk dapatkan bantuan penuh bagi membina semula rumah pusaka ini, laporan polis semua telah dibuat cuma kami harap permohonan bantuan akan dipermudahkan," katanya ketika ditemui di Kampung Dodol di sini hari ini.

Dalam kejadian ribut yang berlaku susulan taufan Lekima pada Jumaat lalu, rumah yang dihuni Hasnah dan Abd. Aziz musnah akibat kebakaran selepas kawasan itu dibadai ribut.

Jaharah berkata, pada Jumaat lalu, ketika kejadian ribut itu berlaku bahagian bumbung rumah berkenaan telah diterbangkan angin dan air memasuki bahagian atas rumah itu.

"Sekitar pukul 1 pagi selepas menutup suis elektrik utama di rumah, ibu dan bapa saya berpindah ke rumah adik yang tinggal berhampiran.

"Kemudian pada pukul 3 pagi, kami dimaklumkan rumah kami telah terbakar pula hingga musnah 100 peratus," katanya.

Dalam pada itu, Hasnah berkata, dia amat berharap rumah pusaka itu dapat dibina semula kerana banyak kenangan bersama keluarganya ada di situ.

"Siapa yang tidak sedih apabila rumah kediaman musnah, saya amat berharap rumah kami dapat dibina semula dalam tempoh terdekat," katanya. -UTUSAN ONLINE