Adik mangsa, Nur Azidatul Fitriah Rahimi, 15, berkata, sejak akhir-akhir ini, kakaknya banyak memuat naik status mengimbau kenangan-kenangan bersama rakan-rakan serta keluarga.

“Kali terakhir kakak pulang ke kampung adalah semasa cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Waktu itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma kira-kira pukul 10 malam tadi, dia sempat menelefon umi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Mayong, Kolam di sini hari ini.

Nur Ilham Najwa adalah antara lima mangsa yang maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini awal pagi ini.

Empat lagi mangsa yang maut ialah Mohd. Sajury Abdullah, 63; Sobariah Haron, 64; Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 27; dan Uwais AlQurney Abdullah, 6.

Kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kelantan bagi menghadiri kenduri di Bachok.

Nur Azidatul Fitriah berkata, kakaknya yang juga pelajar tahun pertama Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi program Diploma al-Quran dan Sunnah adalah seorang yang periang dan peramah.

“Kehilangan arwah cukup dirasai kerana arwah seorang yang rapat dengan adik-adik dan saudara-mara,” katanya.

Jenazah Nur Ilham Najwa akan dikebumikan bersama ibu saudaranya (Sobariah), bapa saudaranya (Mohd. Sajury), dan sepupunya (Uwais AlQurney) di dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tok Junuh, Kolam malam ini.

Manakala jenazah Muhammad Faezuan akan dikebumikan di Bachok. -UTUSAN ONLINE