NURSYAFANIS MOHD. NAHAR
NURSYAFANIS MOHD. NAHAR 

Ujar penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Terengganu itu, pesanan tersebut disampaikan kepadanya ketika pulang bercuti sempena cuti semester baru-baru ini.

Nursyafanis yang masih terkejut dengan kehilangan ibu bapa dan adik bongsunya dalam kejadian itu juga masih teringat permintaan arwah bapanya untuk merakamkan banyak gambar dengannya ketika dia bersiap-siap mahu pulang ke Unisza pada 24 Mac lalu.

“Saya kena kuat demi adik-adik dan akan pegang pesanan terakhir arwah mama baik-baik.

“Bukan mudah untuk kami empat beradik menerima kehilangan ibu bapa dan adik lelaki sekelip mata tetapi saya akan galas tanggungjawab sebagai kakak sulung dengan baik walaupun berat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi semalam, ibu bapa Norsyafanis, Mohd. Nahar Shuhaimi, 39, dan Noorsuhaila Hamat, 41, serta adiknya, Muhammad Nawfal, 6, ditemukan meninggal dunia di dalam rumah persinggahan mereka berhampiran Jeti Nelayan Sungai Tepa, dekat sini.

Mohd. Nahar yang juga pemilik bot nelayan ditemukan rentung hampir seratus peratus di ruang tamu kediaman itu, manakala isteri dan anaknya meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap tebal di bilik air.

Dalam pada itu, Nursyafanis berkata, dia yang baru tiba di Langkawi dari Kuala Terengganu semalam diminta untuk membuat pengecaman sekali lagi ke atas jenazah ibu bapa dan adiknya di Jabatan Forensik HSB.

“Saya masih kuat apabila tengok jenazah abah dan mama tetapi saya tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat mayat adik yang wajahnya kelihatan seperti sedang menahan kesakitan.

“Muhammad Nawfal satu-satunya adik lelaki saya dan saya juga masih ingat bagaimana dia merayu-rayu agar saya tidak pulang ke universiti ketika sedang bersiap-siap untuk bertolak ke Kuala Terengganu,” katanya.

Tambahnya, dia bersama-sama tiga adik iaitu Nursyafinas dan kembarnya, Nursyafina, yang masing-masing berusia 18 tahun serta Nursaleha, 11, merancang untuk berpindah ke rumah datuknya, Hamat Noor, 70, di Felda Chuping, Perlis selepas ini. - UTUSAN ONLINE