Itu kata Ahmad Afandi Ahmad Razif, 28, yang merupakan anak kepada pasangan Ahmad Razif Abdul Rahman, 63, dan Pauziyah Awang, 56, yang maut bersama empat lagi ahli keluarganya dalam kemalangan di Kilometer 288.6, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai, Kemaman.

Menceritakan semula detik hitam itu, Ahmad Afandi ketika itu sedang memandu kereta Proton Persona dan berada dalam jarak 100 meter di belakang kenderaan yang dipandu oleh bapa saudaranya, Ahmad Nasal Abdul Rahman, 52.

Katanya, dia tidak menyangka kemalangan yang berlaku itu membabitkan kenderaan yang dinaiki ahli keluarganya dan hanya menyedari apabila ternampak mayat anak saudaranya, Sofea Adriana Shahruddin, 7, terbujur kaku di tepi jalan.

“Saya melihat ada enjin kereta tercampak di tepi jalan namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah ternampak tubuh Sofea. Saya berasa terkejut dan terus memberhentikan kereta dan melihat lima lagi ahli keluarga turut terbaring di kiri dan kanan jalan raya.

“Ketika itu, ibu masih lagi bergerak manakala Sofea sudah tidak bernyawa, namun selepas meletakkan anak saudara saya, ibu sudah meninggal dunia.

“Saya terus mengutip baju yang bertaburan tercampak daripada kenderaan untuk menutup tubuh Sofea, ibu, bapa dan ahli keluarga yang lain kerana ramai yang berhenti mengambil gambar,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sek­syen 21 di sini hari ini.

Ahmad Razif dan Pauziyah meninggalkan tujuh orang anak, Busyarah, 35; Hajatul Rabani, 33; Nur Fairuz, 30; Ahmad Afandi; Nur Syawal Liyani, 23; Nur Syafikah, 24 dan Mohamad Ikhwan, 14.

Jenazah tiga sekeluarga, Pauziyah, Ahmad Razif serta cucu sulung pasangan itu, Sofea selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan berkenaan pada pukul 2.30, petang hari ini.

Tiga lagi ahli keluar­ga yang maut, Mahani Ngah, 42, Quratulnisa Ahmad Nasal, 11, dan Ahmad Nijat, 9, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kam­pung Durian Gu­ling, Marang pagi tadi.

Enam ahli keluarga itu terkorban kira-kira pukul 6.10 petang semalam selepas salah satu tayar kenderaan pelbagai guna jenis Hyundai Starex yang dipandu Ahmad Nasal dipercayai pancit sebelum me­rempuh pembahagi jalan sebelum melanggar tiang jambatan.

Ahmad Nasal bagaimanapun hanya cedera ringan di kepala dan tiga lagi anaknya Ahmad Shakir, 12; Ahmad Mukriz, 3, dan Quratul Ain, 14, cedera parah.

Dalam pada itu, Ahmad Afandi berkata, sebelum kejadian, mereka telah berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R) berdekatan dengan lokasi kejadian sebelum arwah bapanya mengajak arwah ibu untuk menaiki Hyundai Starex.