Kebakaran pada kira-kira pukul 3.50 petang itu turut membabitkan dua buah rumah lain yang terletak bersebelahan.

Seorang pelajar, S. Kugannan, 22, berkata, ketika kejadian, dia dan rakan-rakannya berada di bahagian bawah rumah dua tingkat itu sebelum terhidu bau asap dari arah tingkat atas rumah.

"Kami naik ke tingkat atas dan nampak salah satu bilik di atas telah terbakar.

"Panik dengan keadaan itu, kami terus mengambil kunci kereta dan motor serta komputer riba lalu lari keluar menyelamatkan diri," katanya, di sini hari ini.

Menurut pelajar semester akhir Diploma Kejuruteraan Elektrik itu, kebakaran tersebut menyebabkan semua tugasan akhir pengajian yang sepatutnya diserahkan kepada pensyarah musnah terbakar.

"Saya menyewa di rumah ini sepanjang saya belajar di sini. Sedih kerana semua tugasan pengajian saya hangus terbakar," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. SubriHussin berkata, tujuh jentera bersama 25 anggota ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 petang.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran.

"Kebakaran ini menyebabkan rumah yang didiami pelajar musnah 90 peratus manakala sebuah rumah berselahannya pula terbakar keseluruhannya," katanya. - UTUSAN ONLINE