Nahas pada pukul 8 pagi itu mengakibatkan Mat Saad Saaud, 76, cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dedap.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Sport itu dalam perjalanan menuju ke Sungai Buaya.

Katanya, kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai hendak masuk ke simpang kanan jalan lalu bertembung dengan remaja terbabit yang menunggang Yamaha SS2 dari arah bertentangan.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil itu luka kecil di lutut.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan parah di kepala," katanya. - UTUSAN ONLINE