Utusan Borneo melaporkan, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa, Munau Tama, 69 dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di tanah perkuburan di kawasan tersebut pada pukul 2.40 petang.

Menurutnya, mangsa berjaya dikesan setelah menemui kesan tapak kaki pada jarak 100 meter dari lokasi mangsa ditemukan.

“Mangsa dilaporkan lemah dan mengalami kecederaan ringan calar pada bahagian kaki sebelum diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke Hospital Betong untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap JPBM Sarawak dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ekoran penemuan itu, katanya, operasi ditamatkan jam 3.30 petang.

Sebelum ini, JPBM Sarawak menerima panggilan berhubung kes kehilangan Munau pada pukul 7.38 malam kelmarin.

Jelasnya, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan daripada Balai Polis Skrang yang memohon khidmat bomba mencari mangsa hilang.

“Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Skrang pada 13 Julai jam 5.23 petang oleh adik mangsa.

“Berdasarkan maklumat daripada adik mangsa, Munau disedari hilang pada 12 Julai lalu sekitar jam 3 petang dan sehingga kini belum balik ke rumah,” jelasnya.

Selain itu, mangsa mempunyai masalah kesihatan mental dan keluar dari rumah tanpa pengetahuan adik dan ahli keluarga lain.-UTUSAN ONLINE