Dalam kejadian pada pukul 4.50 pagi itu, kenderaan terlibat hangus 100 peratus mengakibatkan kesukaran untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 4.50 pagi.

Ujarnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa terbabas di tepi Jalan PJU 1A/1 lalu melanggar pokok sebelum terbakar.

“Kebakaran hanya dapat dipadamkan oleh pihak bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas 15 minit.

“Kenderaan dan pemandu hangus 100 peratus dalam kebakaran dan kita sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti mangsa seterusnya mengesan waris,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zani, mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Nazreen Nasharuddin di talian 010-2105101,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE