Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, mangsa, Loong Yat Heng, 57, yang sedang dalam perjalanan menghantar ayam diproses kepada pelanggan maut akibat cedera di parah di dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Zulkefly Yahya berkata, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas merempuh besi penghadang jalan.

“Siasatan awal mendapati mangsa terbabas sendiri di lokasi kemalangan yang mempunyai dua lorong dan lurus itu.

“Mangsa yang berasal dari Taman Sri Watan, Ampang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian dada,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Zulkefly, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE