Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, kemalangan tersebut turut melibatkan enam kenderaan lain.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Timbalan Penguasa Bomba Armdan Mahat berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira pukul 12.34 tengah hari sebelum sepasukan 15 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dan BBP Cheras dikejarkan ke lokasi kejadian.

Ujarnya, setiba sahaja di lokasi, pihaknya mendapati pemandu pikap berusia 34 tahun itu tercampak keluar daripada kenderaannya sebelum digilis sebuah kenderaan lain.

“Mangsa yang memandu Toyota Hiace disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua wanita dilaporkan cedera.

“Seorang dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dengan ambulans dan seorang lagi mangsa pergi sendiri ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Armdan, tiada mangsa tersepit dalam kemalangan itu dan kerja-kerja pembersihan serta pengalihan kenderaan terlibat giat dilakukan oleh pihaknya.-UTUSAN ONLINE