Dalam nahas pukul 6 pagi itu, pemandu kereta terbabit yang tidak diketahui keadaannya telah melarikan diri dari lokasi

Setakat ini, mangsa yang maut masih belum diketahui identitinya dan polis sedang mengesan pemandu kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dinaiki mangsa dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai telah hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah treler dari arah sama.

Katanya, mangsa yang duduk di kerusi penumpang sebelah pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

“Berdasarkan maklumat kereta dinaiki mangsa itu dipenuhi dengan daun ketum termasuk di tempat duduk belakang dan dalam bonet.

“Kita masih menyiasat perkara itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor pula berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 6.25 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dikerah ke lokasi dengan dua jentera bersama satu kenderaan kecemasan bomba (EMRS) untuk membantu mangsa kemalangan.

“Kita terpaksa mengeluarkan mayat mangsa tersepit menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. - UTUSAN ONLINE