Kejadian pada kira-kira pada pukul 6.30 petang itu menyebabkan mangsa, Mat Juhid Osman, 49, dari Kampung Hulu Padang Sanai Kanan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan patah tangan kiri.

Mat Juhid pergi ke dusun tersebut bersama abangnya, Husin Osman, 53, pada pukul 3 petang untuk memungut buah-buahan selain membersihkan kawasan berkenaan.

Husin berkata, mereka terse­rempak dengan gajah liar itu ketika mereka berjalan ke arah motosikal yang diletakkan kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba gajah liar tersebut mengamuk sebelum menyerang kami tetapi saya sempat mengelak dan menyelamatkan diri dengan berselindung di sebalik sebatang pokok apabila melihat gajah tersebut meluru laju ke arah kami.

“Adik saya pula tidak sempat menyelamatkan diri telah dirempuh dan dipijak gajah ber­kenaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Nerang di sini semalam.

Husin berkata, Mat Juhid yang cedera parah di muka serta patah tangan kiri namun masih boleh bercakap ketika itu dan dia terus dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.

“Sebaik sahaja sampai di hospital, adik saya disahkan meninggal dunia,” katanya.

Husin memberitahu, Mat Juhid merupakan mangsa pertama yang meninggal dunia akibat diserang gajah di kawasan hutan itu.

“Saya dan penduduk kampung lain yang memiliki dusun buah-buahan di sekitar Kampung Kah Ing sering terserempak dengan beberapa ekor gajah yang berkeliaran di kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris dalam satu kenyataan semalam mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.