Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa, Zamri Mat Rani, 48, terlebih dahulu terjatuh daripada motosikalnya akibat terlanggar tumpahan minyak sebelum dirempuh kereta tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Chinchin, Gombak dan menunggang bersendirian menghala ke Taman Melawati, ditemukan orang ramai terbaring di atas jalan raya.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan pada pukul 10.19 pagi, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak dikerahkan ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Sejurus tiba pada pukul 10.36 pagi kita dapati terdapat tumpahan minyak di permukaan jalan raya di lokasi kejadian.

“Dikhuatiri keadaan itu mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain pihak bomba bertindak melakukan kerja pembersihan tumpahan minyak tersebut,” katanya.

Tambahnya, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE