Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang maut dalam kejadian pada pukul 12 tengahari itu ialah pemandu Perodua Alza, Mohd. Ayup Ab. Rahman, 55.

Menurutnya, dalam kejadian itu, isteri dan enam anak mangsa berusia lingkungan sembilan hingga 23 tahun cedera termasuk tiga daripadanya patah kaki kanan, tangan kiri dan tulang rusuk manakala ibu mertuanya yang berusia 75 tahun pula parah di kepala dan kaki.

“Kemalangan itu membabitkan kereta dinaiki sembilan beranak itu yang dalam perjalanan menuju Cameron Highlands dengan sebuah kereta jenis Honda Stream yang dinaiki enam sekeluarga.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu Mohd. Ayup telah dilanggar oleh kereta Honda Stream yang datang dari arah bertentangan.

“Dalam kemalangan itu, Mohd. Ayup cedera parah dan dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan kecemasan. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di hospital berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, kemalangan tersebut turut mengakibatkan pemandu kereta Honda Stream patah peha kiri manakala lima ahli keluarganya yang lain cedera. Isteri mangsa tidak cedera.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut. Siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE