Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa, hanya dikenali sebagai Ah Heng yang memandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dijumpai dalam keadaan rentung tersepit di tempat duduk.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, rakan mangsa, Alwi Kamarau, 42, yang menaiki kenderaan bersamanya bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami cedera ringan.

"Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas merempuh besi penghadang jalan menyebabkan kenderaan itu terbalik ke tepi jalan lalu terbakar," katanya ketika dihubungi, di sini petang ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Samalaju diketuai

Komander Operasi, Mostapha Wasli bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat sebaik sahaja menerima maklumat tentang kemalangan itu pada pukul 12.06 tengah hari.

Katanya, kebakaran telah memusnahkan 100 peratus kenderaan tersebut dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE