Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, Mohamad Fakarani Mokhtar, 33, yang membonceng motosikal bersama rakan-rakannya telah berhenti di sebuah pondok bas di Jalan Gerik-Klian Intan untuk berteduh ekoran hujan lebat.

Difahamkan, mangsa yang berjalan di tepi longkang itu secara tiba-tiba diserang sawan sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam 1.5 meter.

Ketika kejadian, tiga rakannya cuba membantu dengan mencapai tangan Mohamad Fakarani, namun usaha mereka gagal berikutan arus deras dan keadaan tangan yang licin sehingga pegangan tangan terlepas dan mangsa terus dibawa arus.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Zainal Abidin Abdul Ghani berkata, seramai enam anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.30 malam.

Katanya, pencarian dilakukan di sepanjang longkang tersebut dan mangsa ditemui di dalam Sungai Hangai, kira-kira satu kilometer dari tempat dia terjatuh pada pukul 7.25 malam.

"Operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua pasukan iaitu satu pasukan mengesan mangsa dari lokasi dia dilaporkan jatuh dan sepanjang longkang berkenaan manakala pasukan kedua pula membuat pencarian di kawasan Sungai Hangai.

"Mangsa dijumpai di dasar sungai iaitu di lokasi lubuk yang dijadikan tempat menyedut air dengan kedalaman kira-kira 1.3 meter. Mayat mangsa dibawa ke tebing sungai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu Ketua Polis daerah, Superintenden Jamalani Mohd. Isa berkata, pemeriksaan pada mayat mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kolej Komuniti Gerik mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE