Mayat Mohd. Al-Hazaari Othman, 51, dari Taman Kuala Kangsar, Kuala Kangsar ditemukan pada kira-kira pukul 9.30 pagi dalam keadaan terapung kira-kira 30 meter dari lokasi dia dipercayai hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd. Zaki Zainol, berkata mangsa ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada pukul 7 pagi ini melibatkan seramai 10 anggota bomba. Kami menjalankan kaedah pencarian di permukaan dan menemukan mangsa yang terapung pada pukul 9.30 pagi.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Zaki, operasi tersebut turut melibatkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Difahamkan, mangsa dipercayai datang ke kawasan itu pada pukul 10 pagi semalam bersama seorang rakannya yang menjala ikan sebelum rakannya itu menyedari kehilangannya.

Bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.43 petang menjalankan gerakan mencari dan menyelamat sebelum operasi dihentikan pada 7.30 malam semalam dan disambung semula pada pagi ini. - UTUSAN ONLINE