Dalam kejadian 11 pagi itu, Muhammad Faiz Mohd Jamlus, 22, dari Taman Sri Abadi, Jalan Kuala Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Sazalee Adam berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang bekerja di Pelabuhan Kuantan gagal mengawal motosikal ditungganginya lalu terbabas hingga terjatuh di tengah jalan lorong kiri.

"Akibat kemalangan itu, kepala mangsa mengalami kecederaan serius (pecah). Mangsa dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke kampungnya di Alor Setar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sazalee berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dibedah siasat.-- BERNAMA