ZALEHA MAT ZAIN,
ZALEHA MAT ZAIN, 

Menurut Zaleha, dalam kejadian kira-kira pukul 1.35 petang itu, dia hanya berseorangan di pasar berkenaan disebabkan lebih 10 peniaga yang lain belum membuka perniagaan mereka.

Menceritakan kejadian itu, Zaleha berkata, ketika kejadian belalai air tersebut melanda, dia sedang menggoreng pisang di gerainya.

“Saya baru sahaja mula berniaga, hanya saya seorang berada di pasar ini dan suami berada di masjid untuk menunaikan solat zuhur.

“Saya dengar bunyi angin kuat dan kerana takut saya terus melarikan diri dan masuk ke kawasan masjid berhampiran, saya hanya sempat menutup dapur gas sahaja pada waktu itu,” katanya ketika ditemui di pasar Tanjung Tokong di sini hari ini.

Dalam kejadian belalai air yang melanda kawasan itu kira-kira 15 minit, sebanyak lapan gerai di pasar tersebut rosak selain mengakibatkan bumbung kira-kira 30 buah rumah termasuk di Flat Uda di sini diterbangkan angin.

Menurut Zaleha, angin kuat berserta hujan itu turut menerbangkan gerai-gerai peniaga di kawasan berkenaan sebelum angin tersebut menuju ke kawasan kampung.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun barang jualan saya seperti pisang dan ubi rosak kerana dibasahi air hujan dan peralatan berniaga diterbangkan ribut,” katanya.

AZIZAH AZIZAN
AZIZAH AZIZAN 

Sementara itu, peniaga laksa, Azizah Azizan, 63, berkata, dia bernasib baik kerana ketika belalai air tersebut melanda, dia sedang bersiap untuk membawa laksa ke gerainya di pasar tersebut.

“Rumah saya terletak berhampiran dengan pasar dan ketika belalai air itu melanda, saya nampak gerai saya telah rosak dan diterbangkan angin,” katanya.

Tambahnya, kejadian belalai air itu juga disifatkan yang terburuk pernah dialaminya dan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun rumahnya turut dilanda bencana tersebut. - UTUSAN ONLINE