Sony yang bekerja sebagai pegawai di Kementerian Kewangan Pulau Belitung menangis kali pertama mendengar nasib enam rakannya yang turut sama menjadi mangsa korban.

Sony yang menetap di Bandung akan pulang setiap minggu dan menaiki pesawat Lion Air JT 610 pada setiap hari Isnin di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada pukul 6.10 pagi.

“Kebiasaannya, saya akan bertolak dari Bandung bermula pukul 11 malam dan tiba ke Terminal 1B, Jakarta pada pukul 3 pagi.

“Tetapi, kerana kesesakan lalu lintas yang agak teruk di Tol Jakarta-Cikampek, saya sampai ke lapangan terbang pada pukul 6.20 pagi dan ketika itu, pesawat sudah pun berlepas,” kata Sony kepada CNN Indonesia.

Dalam erti kata lain, Sony cuma terlewat 10 minit sahaja namun tempoh masa tersebut telah menyelamatkan dirinya walaupun ia sesuatu yang sangat mengejutkan.

Mengulas lanjut tentang insiden itu, Sony mengakui dia ada melakukan sesuatu yang berada di luar kebiasaan tindakannya.

“Biasanya saya akan membuat pengesahan secara atas talian kerana takut terlewat. Tetapi entah kenapa kali ini, saya rasa agak malas untuk berbuat demikian.

“Jadi saya pun mencetak pas pelepasan sedangkan sebelum ini, saya tidak pernah melakukannya,” katanya. - AGENSI