Kejadian tersebut melibatkan Kota Damansara, Kampung Paya Jaras, Kampung Kubu Gajah dan Rawang yng dinaiki air setinggi 50 sentimeter sehingga mencecah satu meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, ekoran itu, kejadian terbabit telah menyebabkan kerosakan rumah dan harta benda penduduk di kawasan berkenaan.

“Sehingga pukul 11.30 malam ini, difahamkan kawasan perumahan di lokasi terbabit masih ditenggelami air namun masih terkawal.

“Setakat ini tiada pusat pemindahan mangsa banjir dibuka namun kita masih memantau lokasi-lokasi terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, beberapa jalan raya seperti Jalan Sungai Buloh menuju ke Kepong ditenggelami air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Kami menasihati pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal dan orang ramai lebih berhati-hati ,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE