Mangsa kedua, Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, ditemukan pukul 5.20 pagi kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama ditemukan di pesisir pantai itu semalam. 

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, mangsa terakhir pula, Khairul Ikmal Danial Zamzuradi, 19, ditemukan pukul 9.45 pagi, kira-kira 2.1 kilometer dari PKB berdekatan pantai.

Beliau memberitahu, dua mayat itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya selepas pengecaman dibuat keluarga masing-masing.

Mangsa pertama, Shahir Aqil Shahrun, 19, ditemukan terdampar di tepi pantai oleh pasukan mencari dan menyelamat pukul 4.20 pagi semalam, kira-kira 500 meter dari tempat mereka dilaporkan lemas.

Shahir Aqil merupakan atlet silat Terengganu yang bakal mewakili negeri ini ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) bulan depan.

Dalam kejadian petang kelmarin, keseronokan tujuh remaja mandi manda di pantai itu sempena cuti Hari Raya Aidiladha berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka lemas.-UTUSAN ONLINE