Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang berkata, pada peringkat awal masalah dikesan di bahagian rotor kipas helikopter berkenaan.

“Kita masih belum tahu punca sebenar kejadian buat masa ini dan kita jangka akan dikenal pasti selepas siasatan terperinci dijalankan.

“Namun siasatan awal, juruterbang memberitahu berlaku masalah mekanikal di bahagian kipas rotor helikopter yang tidak berfungsi dengan baik ketika melakukan penugasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini sebentar tadi.

Semalam, akhbar melaporkan seramai empat kru dan 11 anggota Tentera Darat cedera ringan selepas helikopter Nuri dinaiki mereka terhempas ketika melakukan pendaratan cemas. - UTUSAN ONLINE