Dalam kejadian tersebut pemandu Toyota Camry berusia 50 tahun itu gagal mengawal keretanya lalu merempuh tiga pelanggan, meja dan kerusi yang diletak di parkir restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, kereta itu hanya terhenti apabila melanggar sebuah van yang diparkir di kawasan berhampiran manakala ketiga-tiga mangsa terbaring atas jalan raya.

"Berikutan itu, seorang daripada tiga mangsa luka di kepala, seorang patah bahu kanan manakala baki seorang mangsa dipercayai cedera ringan.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi ambulans sebelum ketiga-tiga mangsa lingkungan 20-an hingga 40-an dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan kecemasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta yang juga seorang buruh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati pemandu itu negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

"Kami sudah mengambil keterangan pemandu itu dan buat masa ini dia dibebaskan dengan jaminan polis. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Difahamkan, kereta suspek akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk menjalani pemeriksaan. - UTUSAN ONLINE