Selain bas ekspres dari Johor Bahru ke Melaka itu, kemalangan tersebut turut melibatkan sebuah treler, masing-masing sebuah lori tiga tan, kereta Mazda serta Toyota Innova.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Dzulkhairi Mukhtar berkata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, laporan awal diterima, seorang wanita penumpang bas ekspres dan seorang lelaki pemandu treler cedera ringan dalam insiden yang berlaku kira-kira dua kilometer dari susur keluar Plaza Tol Kulai semasa hujan lebat.

"Mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan siasatan di tempat kejadian sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Tambahnya, susulan kemalangan itu serta hujan lebat, berlaku kesesakan di laluan tersebut dan hanya satu lorong dibuka kepada pengguna jalan raya.

Beliau menasihatkan pengguna yang keluar dari Plaza Tol Kulai melalui Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam dan boleh masuk kembali melalui laluan Plaza Tol Sedenak. - UTUSAN ONLINE