Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pengesahan itu dibuat oleh keluarganya yang datang untuk tujuan pengecaman di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini malam ini.

"Keluarga sahkan mayat tersebut adalah Nora Anne yang hilang sejak 4 Ogos. Bagaimanapun proses bedah siasat akan dijalankan pukul 10 pagi esok oleh Senior Patologi dari Hospital Kuala Lumpur.

"Hasil bedah siasat baru kita akan buat siasatan lanjut ," katanya kepada pemberita di HTJ di sini.

Mayat perempuan berkulit putih tanpa pakaian ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan Nora Anne dan keluarganya di Pantai di sini pada pukul 1.57 petang tadi.

Mayat dalam keadaan sempurna itu ditemukan sekumpulan pendaki yang menyertai operasi SAR di satu kawasan lurah berhampiran sungai sebelum dihantar ke HTJ menggunakan helikopter.

Sementara itu, Mohamad berkata,

operasi SAR di lokasi kejadian gadis itu hilang tidak dihentikan sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Beliau berkata, pihaknya akan bersiap sedia bagi menjalankan gerakan selanjutnya.

Nora Anne dilaporkan hilang dari Resort The Dusun Pantai Hill dekat sini pada pagi 4 Ogos lalu semasa bercuti bersama ibunya, Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Semasa kejadian, mangsa tidur di dalam bilik bersama dua adiknya sebelum gadis tersebut didapati hilang kira-kira pukul 8 pagi. - UTUSAN ONLINE