Ibu kepada Mohamad Haziq Ishak, Zuhainun Salim, 54, berkata, keluar­ganya masih mempertimbangkan sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak bertanggungjawab susulan kejadian jambatan runtuh tersebut.

“Saudara-mara mencadangkan kepada kami supaya mengambil tindakan undang-undang kerana kejadian itu me­ragut dua nyawa termasuk anak ke­sayangan saya. Pada saya, ini bukan satu kemalangan tetapi kecuaian yang berlaku disebabkan banyak pun­ca.

“Bagaimanapun pada masa ini, saya masih tidak mampu untuk berdepan dengan tragedi ini, biarlah hati dan jiwa saya tenang dahulu sebelum buat keputusan demi keadilan arwah dan juga kebaikan orang ramai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ibu kepada enam anak itu bagaimanapun berharap pi­hak­ bertanggungjawab membuat pemantauan khusus terhadap jambatan mahupun jalan-jalan berisiko yang mengalami mendapan ta­nah terutama pada musim hujan ini bagi memastikan tragedi tersebut tidak ber­ulang.

Akhbar hari ini melaporkan dua sahabat karib menemui ajal setelah tertimbus bersama motosikal dinaiki mereka dalam tragedi jambatan runtuh, dipercayai akibat hakisan tebing Su­ngai Serdang di Jalan Taman Serdang, Bandar Baharu kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.15 malam itu, mangsa, Muhammad Haikal Hakimi Mohd. Noor, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Serdang Baru dan Mohamad Haziq, 17, yang merupakan pembantu kedai tertimbus dalam runtuhan sedalam 0.3 meter pada bahagian kepala jambatan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Bandar Baharu, Shahir Salleh menyifatkan tragedi yang mengorbankan dua remaja di Jalan Taman Serdang, Bandar Baharu bukan berpunca daripada kegagalan pihaknya menjalankan penyelenggaraan.

Kata beliau, pihaknya ba­gaimanapun tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kerosakan jalan di lokasi kejadian bagi membolehkan penyelenggaraan dilakukan di laluan berkenaan.

“Punca kejadian masih disiasat, namun sebelum ini, kita tidak menerima sebarang aduan kerosakan jalan di lokasi tersebut. Menerusi projek Marris (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya), kita bertanggungjawab menyelenggara mana-mana jalan yang dilaporkan me­ngalami kerosakan.

“Maka saya tidak menolak kejadian jalan runtuh sehingga meragut dua nya­wa kelmarin adalah kemalangan dan bukannya berpunca kegagalan kita untuk membuat penyelenggaraan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintenden Barufin Wariso berkata, laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian kedua-dua remaja tersebut disebabkan hentakan kuat benda tumpul pada bahagian kepala, dipercayai permukaan jalan yang runtuh.