Bagaimanapun, itu yang harus ditempuhi Noor Fatihah Osman, 23, selepas suaminya yang dinikahi pada Mei lalu, Mohd. Amirul Nizam Sokarno, 25, yang merupakan seorang warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat, di sini maut dalam kebakaran di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz tersebut awal pagi tadi.

Noor Fatihah dilihat tidak berhenti menangis ketika ditemui di lokasi kejadian dan enggan ditemu bual pemberita.

Sementara itu, ibu saudara Noor Fatihah, Asmah Yaakob, 50, berkata, anak saudaranya dikejutkan dengan berita tersebut kira-kira pukul 6 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi dari hostel pusat pengajiannya di Universiti Sains Islam malaysia (USIM) di Bangi.

“Selalunya dia (Mohd. Amirul Nizam) akan telefon anak saudara saya untuk kejutkan bangun Subuh tapi hari ini dia tak telefon.

“Noor Fatihah juga cuba menelefon suaminya tapi tidak berjawab. Saya tidak menyangka perkara buruk ini terjadi kepadanya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang kakitangan pusat tahfiz berkenaan, Mohd Arif Mawardy, 24, berkata, pada awalnya dia terdengar bunyi kuat seperti ribut di luar bangunan berkenaan.

“Saya terjaga dan melihat keluar tingkap namun bukan ribut dan saya terkejut melihat kepulan asap di tingkat tiga.

“Kemudian saya terdengar suara dari tingkat atas menjerit supaya menyelamatkan diri kerana berlaku kebakaran,” ujarnya.

Mohd Arif berkata, dia ketika itu berada di tingkat dua bangunan berkenaan bersama tiga lagi guru cuba menyelamatkan pelajar di asrama yang terletak di tingkat tiga dengan bantuan penduduk setempat namun tidak berjaya. - UTUSAN ONLINE